Friday, October 17, 2014

Entri 1 | Langkah-langkah Penjagaan Kereta

Pengangkutan awam mahupun persendirian terbahagi kepada tiga iaitu pengangkutan darat, air dan udara. Pengangkutan darat merupakan pengangkutan yang paling banyak dikeluarkan dan digunakan jika dibandingkan dengan kenderaan-kenderaan lain. Namun kemalangan yang mencatat peratusan paling tinggi juga melibatkan kereta. Kelalaian daripada melaksanakan penjagaan ke atas kenderaan merupakan salah satu punca tercetusnya kemalangan. Ramai pengguna kereta yang hanya tahu menekan pedal minyak kereta tetapi tidak memiliki ilmu dalam penyelenggaraan kereta. Malang tidak berbau, maka kita seharusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kejadian yang boleh memudaratkan nyawa kita sendiri mahupun orang sekeliling semasa memandu kenderaan.


Pengguna kenderaan bermotor seharusnya mengambil berat pada bateri yang dipasangkan pada kenderaan. Bateri kenderaan terbahagi kepada dua iaitu bateri basah dan bateri kering. Keadaan air di dalam bateri basah perlu dipantau dari semasa ke semasa agar air di dalam bateri tersebut sentiasa berada paras normal. Paras air di dalam bateri yang rendah menyebabkan bateri menjadi cepat rosak. Bateri kering pula hanya perlu dititikberatkan pada tarikh luputnya sahaja. Sekiranya bateri kering telah mencapai tarikh luput atau had penggunaannya maka bateri tersebut perlu ditukar dalam kadar segera. Seterusnya, pengguna perlu menukar minyak pelincir yang digunakan dalam enjin kenderaan mengikut jadual. Semakin lama minyak pelincir digunakan, semakin kurang daya pelincirannya. Oleh itu, pengguna perlu menukar minyak pelincir tersebut supaya tidak berlaku kerosakan pada enjin kenderaan yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Selain itu, radiator yang dipasang pada kenderaan perlu sentiasa diambil perhatian. Sistem radiator akan menyejukkan enjin supaya tidak terlalu panas. Apabila radiator rosak, tahap kepanasan enjin akan terus meningkat. Jika bernasib baik, kenderaan yang digunakan hanya tidak dapat dihidupkan dalam masa yang lama. Seandainya nasib malang menyebelahi pengguna, enjin kenderaan akan mengalami kerosakan atau terbakar kerana mengalami tahap kepanasan yang amat tinggi. Brek kenderaan juga perlu diamati sebelum
memulakan perjalanan. Pemandu-pemandu kereta disarankan agar tidak meneruskan perjalanan sekiranya paras minyak brek berada pada tahap minimum. Hal ini kerana cengkaman pada brek akan berkurang. Akhir sekali pengguna kenderaan perlu menitikberatkan keadaan tayar kenderaan. Para pemandu perlu memastikan bunga atau jalur pada tayar kenderaan masih boleh digunakan. Jalur tayar yang rosak atau tayar yang mengalami kebotakan boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan semasa memandu.



Jelaslah bahawa kelima-lima langkah tersebut melengkapi teknik penjagaan kereta. Sesungguhnya malang tidak dapat dihidu, maka perlulah kita mengambil langkah-langkah yang lebih awal bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Kadar kemalangan jalan raya tidak mustahil dapat diminimumkan sekiranya langkah-langkah tersebut berjaya diamalkan dalam kalangan pengguna jalan raya.