Thursday, November 27, 2014

Entry 4 - Autobiografi | Perjalanan Hidupku dalam Menuntut Ilmu

Pada tahun 1992, ibu bapaku dianugerahkan rezeki daripada Tuhan dengan kelahiran anak ketiga. Lalu lelaki yang bergelar ayah, meniupkan seruan azan di telingaku. Alhamdulillah, bersyukur aku ke hadrat Ilahi kerana aku dilahirkan beragama Islam dan cukup sifat. Dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, aku dinamakan Mohd Adri Fadli bin Ariffin. Ibu bapaku membesarkan aku bersama tiga lagi saudara sedarahku bagai menatang minyak yang penuh. Aku merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Aku juga dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana. Ibu dan bapaku hanyalah orang biasa, bukan keturunan diraja. Aku berasal daripada sebuah kampung yang dulunya dinamakan Durian Mas, kini dinamakan Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Kampungku terletak di daerah Dungun dalam negeri Terengganu.

Ketika usiaku mencecah 5 tahun iaitu pada tahun 1998 aku mula belajar di taman didikan
 kanak-kanak yang terdapat di dalam kampungku. Tadika Kemas Durian Mas menjadi pilihan ibu bapaku. Pada mulanya aku berasa takut kerana aku tiada pengalaman belajar dan rakan untuk menemaniku sewaktu belajar. Namun, kakakku yang merupakan anak kedua dari empat beradik menemani aku untuk selama beberapa hari sehingga aku selesa dengan keadaan. Aku seseorang yang mudah didampingi menyebabkan aku mendapat rakan. Setelah aku mendapat beberapa orang rakan, kakak aku tidak lagi menemani aku. Hari demi hari aku menghabiskan pelajaran bersama-sama rakan-rakan kecilku. Kenakalan zaman kecilku mencuit hatiku di saat aku merenung akan kesunyian di hari-hariku.


Pada tahun 2000 usiaku mencecah 7 tahun. Peningkatan usiaku melayakkan aku melangkah ke peringkat
 seterusnya, iaitu darjah satuSelama enam tahun aku menghabiskan pengajianku hingga darjah enam yang juga di sekolah yang terdapat di dalam kampungku. Di kampungku terdapat dua sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Durian Mas I dan Sekolah Rendah Durian Mas II. Ibu bapaku mendaftarkan aku di Sekolah Rendah Durian Mas I kerana berdekatan dengan rumah. Pelbagai kenangan pahit dan manis diukir saat bersama-sama dengan rakan sedarjah aku. Aku bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana aku sentiasa berada dalam kelas pertama dari darjah satu hingga darjah enam. Aku juga merupakan seseorang yang aktif bersukan sewaktu sekolah rendah. Aku pernah mewakili bola sepak hingga ke peringkat Pusat Kegiatan Guru (PKG), Bukit Besi. Aktiviti sukaneka sekolah pula aku menyertai dalam acara larian dan lontar peluru. Minat aku kepada pengawas sekolah lebih kurang jika dibandingkan dengan pengawas perpustakaan menyebabkan aku dilantik sebagai pengawas perpustakaan. Perkara yang mendebarkan aku adalah saat menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). UPSR merupakan ujian yang menentukan kedudukan aku di sekolah menengah. UPSR juga merupakan ujian besar buat kali pertama bagi diriku. Dengan segala ilmu yang telah dipelajari aku gunakan dalam UPSR. Akhirnya aku memperoleh keputusan yang melayakkan aku ke peringkat menengah.



Aku mula memasuki ke peringkat menengah pada tahun 2011. Pada tahun tersebut usiaku mencecah 13 tahun yang digelar tingkatan satu sewaktu di sekolah menengah. Dengan keputusan yang aku bawa dari UPSR, aku berjaya berada dalam kelas pertama. Hanya satu sekolah menengah sahaja yang terdapat di kampungku iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas. Dalam tempoh tiga tahun mendatang, ujian peperiksaan kedua terbesar yang bakal aku tempuhi iaitu Penilaian Menengah Rendah. Peperiksaan tersebut akan menentukan kedudukanku pada tingkatan empat. Aku berjaya mengekalkan diriku berada dalam kelas pertama bagi tempoh tiga tahun tersebut. Hari demi hari aku lalui, akhirnya tiba masa untuk aku menduduki peperiksaan PMR. Debaran mendatang setiap saat aku menjawab setiap kertas soalan. Namun apa yang paling mendebarkan saat ketika memperoleh keputusan PMR. Walau bagaimanapun debaran itu tidak setinggi debaran yang bakal aku tempuhi iaitu selepas tingkatan lima.

Aku merupakan seseorang yang tidak suka tinggal di asrama. Aku bertekad untuk kekal belajar di sekolah kampungku,
 walaupun mendapat tawaran untuk ke sekolah berasrama di luar. Keputusan PMR yang aku peroleh melayakkan aku berada di kelas aliran sains. Sekolah menengah di kampungku membahagikan dua kelas aliran sains dan lima kelas aliran sastera. Banyak perkara yang aku pelajari walaupun aku kurang minat pada sains. Minatku melebihi kepada perkara teknologi. Lalu aku menambah satu lagi mata pelajaran, iaitu Teknologi Maklumat ke dalam senarai mata pelajaran yang diambil untuk tempoh dua tahun. Kesemuanya sebanyak 11 matapelajaran. Aku juga pernah ditawarkan untuk menjadi pengawas sekolah, tetapi aku menolak tawaran tersebut. Bukanlah kerana tidak minat, tetapi masih banyak perkara yang perlu aku tumpukan pada pelajaran. Sekiranya aku menerima tawaran tersebut, pelajaran aku mungkin akan terganggu. Aku lebih selesa menjadi pelajar seperti biasa. Pembelajaran aku semasa di tingkatan empat dan lima agak berbeza jika dibandingkan dengan tiga tahun sebelumnya. Tumpuan aku kepada pelajaran semakin meningkat. Kerja-kerja yang ditugaskan juga disiapkan dalam masa yang terdekat. Aku cuba usahakan sedaya yang mampu, kerana aku bakal menduduki peperiksaan yang menentukan masa depanku. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sahaja menggetarkan hatiku malah sentiasa bermain di benak fikiranku. Dengan apa cara sekalipun aku harus tempuhi peperiksaan tersebut. Lalu aku melengkapi dengan diriku dengan segala usaha dan doa sebelum menempuhi peperangan yang bakal mendatang. Setelah dilengkapi dengan senjata-senjata untuk dicoret di atas kertas jawapan, aku memasuki dewan peperiksaan dengan langkah kanan diselangi dengan doa. Aku seringkali berdebar-debar ketika menjawab kertas peperiksaan. Dengan iringan doa, aku mampu cekalkan hati dan rasa gentar kian beransur lembut. Walau bagaimanapun, debaran itu tidak akan hilang selagi keputusan SPM dikeluarkan. Keputusan itu akan menentukan aku sama ada diberi lampu hijau untuk terus menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi atau mendapat lampu merah dengan menjadi seorang penganggur.


Pada tahun 2010, keputusan SPM dikeluarkan. Aku amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih diberi peluang untuk menyambung pelajaran. Aku dapat menyambung pelajaran ke tingkatan enam yang masih lagi di sekolah kampungku, manakala rakan-rakanku yang lain ada yang mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat sijil, diploma dan matrikulasi, sama ada di dalam negara mahupun melepasi sempadan negara. Sewaktu di tingkatan enam, aku dilantik sebagai pengerusi Persatuan Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas. Pada mulanya perasaan belajar agak luntur. Mungkin disebabkan terlalu lama bercuti tanpa sebarang aktiviti kurikulum setelah selesai SPM. Dengan semangat yang ditiup daripada guru-guruku, hari demi hari semangat belajar semakin bersemarak ke dalam sanubariku. Hubungan aku dengan tenaga pengajar tingkatan enam sangat rapat. Mungkin kerana kematangan pada usia dapat meningkatkan lagi komunikasi aku antara tenaga pengajar sehingga hubungan itu semakin utuh. Dengan keakraban itu juga memudahkan aku untuk memperoleh ilmu daripada mereka. Semakin lama, prestasiku semakin meningkat. Tempoh selama dua tahun diberikan untuk menduduki peperiksaan yang lagi besar buatku, iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Kali ini aku telah melengkapi diriku dengan usaha yang lebih mantap. Dengan iringan doa daripada ibu bapa dan tenaga pengajar, aku cukup bersedia untuk menduduki peperiksaan STPM. Aku menjawab setiap kertas soalan STPM dengan penuh semangat. Segala tunjuk ajar yang telah dicurahkan daripada tenaga pengajar, aku terapkan dengan penuh teliti pada kertas jawapan. Selesainya peperiksaan STPM, aku bercuti lagi untuk beberapa bulan. Tidak lama kemudian, keputusan STPM bakal dikeluarkan. Sejenak melayari laman sesawang, mencari sedikit sebanyak ilmu untuk ditambah pada diri ini, sedikit masa diluangkan untuk satu laman sesawang yang akan mengeluarkan keputusan penting bagi diri aku. Sedikit rasa gentar kerana keputusan tersebut akan menetapkan kedudukan untuk masa hadapan. Bermacam-macam anasir yang bermain di fikiran aku. Namun aku memberanikan diri tanpa memikirkan apa yang akan menjadi kenyataan pada masa kelak kerana aku akan tetap melaluinya walau apa jua yang berlaku. Dengan hanya satu klik pada butang tetikus maka terpaparlah takdir yang bakal aku lalui pada layar komputer peribadiku.

        Aku bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana telah melimpahkan rezeki kepada takdirku. Dengan keberkatan doa
 daripada kedua ibu bapa, saudara, rakan-rakan serta tenaga pengajar, aku telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Maka tidak sia-sialah usaha aku untuk menghadiahkan kegembiraan kepada keluargaku. Pada tahun 2013 takdir telah menemukan aku dengan alma mater yang gagah berdiri di atas bumi Sintok, bergelar Universiti Utara Malaysia. Pada mulanya, kaki terasa sedikit berat untuk meninggalkan keluarga dan kampung halaman yang agak jauh jaraknya. Namun aku cekalkan hati untuk melalui segala dugaan yang bakal ditempuhi. Semakin hari langkahanku semakin gagah ditemani rakan-rakan seperjuangan yang banyak membantu serta meniup semangat ke dalam diriku. Sehingga ke hari ini, aku masih meneruskan perjuanganku di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang aku minati iaitu Sains Teknologi Maklumat dengan kepujian di universiti pengurusan terkemuka, Universiti Utara Malaysia.


Saturday, November 15, 2014

Entri 3 | Punca-punca Gagal dalam Pelajaran

     Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan bagi umat Islam. Rasulullah pernah bersabda kepada umatnya supaya menuntut ilmu hingga ke liang lahad. Tuntutan tersebut disempurnakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Namun masih terdapat beberapa insan yang tidak dapat meneruskan perjalanan tersebut hingga ke akhirnya. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak percaya kepada prinsip gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat meneruskan perjalanannya dalam menuntut ilmu.

Kesilapan memilih sahabat seperjuangan merupakan faktor utama kegagalan dalam pelajaran. Sahabat yang boleh membawa kepada kemusnahan dalam akademik merupakan seseorang yang cenderung kepada perkara yang boleh menjejaskan akademik contohnya ponteng kelas, tidak menghormati tenaga pengajar, tidak menyiapkan kerja-kerja yang diberikan dan lain-lain. Kegiatan tersebut boleh menyebabkan fikiran akan sering terganggu semasa belajar. Gagal menguruskan masa juga menyebabkan pelajar gagal dalam pelajaran. Hal ini disebabkan kerja-kerja semakin bertambah apabila di tangguh. Akhirnya kerja-kerja tersebut gagal diselesaikan, secara tidak langsung menjejaskan pemarkahan pada tugasan yang diberikan. Selain itu, tenaga pengajar memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Pelajar sukar memahami apabila tenaga pengajar tidak dapat menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menyebarkan ilmu. Sesetengah daripada mereka juga tidak mengambil berat terhadap prestasi pelajar dan mengarahkan tugasan yang
tidak bersesuaian kepada pelajar. Masalah kewangan merupakan salah satu punca kegagalan. Pelajar memerlukan wang yang banyak bukan untuk dibelanjakan kepada barangan atau perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Bahan-bahan akademik seperti buku ilmiah dijual pada harga yang mahal, tambahan pula kos yang tinggi diperlukan untuk menyiapkan tugasan menyebabkan pelajar tidak dapat melengkapi tuntutan tersebut. Kegiatan kokurikulum melebihi kurikulum menyebabkan pelajar kesuntukan masa untuk diluangkan kepada pelajaran. Aktiviti kokurikulum yang berlebihan juga menyebabkan pelajar tidak cukup rehat sehingga tertidur sewaktu menuntut ilmu.


Jelaslah bahawa faktor-faktor tersebut mendorong kepada kegagalan dalam pelajaran. Sekiranya hal ini tidak dititikberatkan, maka tidak mustahil golongan yang berjaya dalam akademik akan semakin berkurangan. Oleh itu semua pihak perlu berganding bahu bagi menggagalkan faktor-faktor tersebut secara tidak langsung dapat merealisasikan kejayaan yang menjadi impian setiap penuntut ilmu di samping menepati tuntutan Rasulullah.

Monday, November 10, 2014

Entri 2 | Faedah-faedah Permainan Komputer

       Dunia teknologi semakin berkembang pesat. Pada masa kini permainan komputer peribadi merupakan hiburan yang amat diminati dalam setiap golongan tanpa mengira usia. Permainan komputer agak berbeza jika dibandingkan dengan permainan yang dimainkan pada konsol permainan video atau mesin arked. Permainan komputer dapat dimainkan tanpa mengira tempat atau waktu manakala konsol permainan video hanya dapat dimainkan pada mesin konsol tersebut sahaja. Namun masih ramai yang tidak dapat membuka fikiran mereka untuk melihat faedah-faedah yang dapat diambil daripada permainan komputer.



       Kanak-kanak, remaja, mahupun golongan dewasa yang banyak menghabiskan masa lapang mereka dengan permainan komputer di rumah secara tidak langsung dapat mengelak daripada terjebak dengan aktiviti gejala sosial atau jenayah yang berlaku di luar rumah. Selain itu, permainan komputer boleh dijadikan sebagai salah satu hiburan untuk menenangkan fikiran. Permainan yang menarik dan memiliki ciri-ciri yang dapat mencuit hati pengguna mampu menenangkan jiwa para pemain. Permainan komputer yang berciri-cirikan strategi mampu merangsang individu untuk merancang dengan lebih baik manakala permainan komputer yang berciri-cirikan teka-teki pula mampu merangsang pengguna dalam proses pengiraan. Hal ini secara tidak langsung dapat menggerakkan otak kanan dan kiri serta meningkatkan keupayaan berfikir. Permainan komputer dapat dibahagikan kepada dua iaitu permainan dalam talian dan permainan luar talian. Permainan dalam talian memerlukan rangkaian Internet manakala permainan luar talian dapat dimainkan seperti 
biasa. Permainan dalam talian dapat menghubungkan antara satu pengguna dengan pengguna lain. Oleh itu, pengguna dapat menambah kenalan disamping mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka melalui rangkaian ini. Permainan komputer juga dapat meningkatkan kadar celik teknologi. Mereka akan menggunakan komputer untuk memainkan permainan kesukaan mereka secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan teknologi komputer.


        Kesimpulannya permainan komputer banyak mendatangkan faedah kepada penggunanya. Antaranya dapat mengelak daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat di samping masa lapang, menangkan jiwa, meningkatkan keupayaan berfikir, menjalinkan hubungan antara pengguna dan meningkatkan kadar celik teknologi. Faedah-faedah ini tidak salah dimanfaatkan kepada pengguna yang secara tidak langsung dapat meningkatkan golongan celik kepada teknologi pada masa kini.

Friday, October 17, 2014

Entri 1 | Langkah-langkah Penjagaan Kereta

Pengangkutan awam mahupun persendirian terbahagi kepada tiga iaitu pengangkutan darat, air dan udara. Pengangkutan darat merupakan pengangkutan yang paling banyak dikeluarkan dan digunakan jika dibandingkan dengan kenderaan-kenderaan lain. Namun kemalangan yang mencatat peratusan paling tinggi juga melibatkan kereta. Kelalaian daripada melaksanakan penjagaan ke atas kenderaan merupakan salah satu punca tercetusnya kemalangan. Ramai pengguna kereta yang hanya tahu menekan pedal minyak kereta tetapi tidak memiliki ilmu dalam penyelenggaraan kereta. Malang tidak berbau, maka kita seharusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kejadian yang boleh memudaratkan nyawa kita sendiri mahupun orang sekeliling semasa memandu kenderaan.


Pengguna kenderaan bermotor seharusnya mengambil berat pada bateri yang dipasangkan pada kenderaan. Bateri kenderaan terbahagi kepada dua iaitu bateri basah dan bateri kering. Keadaan air di dalam bateri basah perlu dipantau dari semasa ke semasa agar air di dalam bateri tersebut sentiasa berada paras normal. Paras air di dalam bateri yang rendah menyebabkan bateri menjadi cepat rosak. Bateri kering pula hanya perlu dititikberatkan pada tarikh luputnya sahaja. Sekiranya bateri kering telah mencapai tarikh luput atau had penggunaannya maka bateri tersebut perlu ditukar dalam kadar segera. Seterusnya, pengguna perlu menukar minyak pelincir yang digunakan dalam enjin kenderaan mengikut jadual. Semakin lama minyak pelincir digunakan, semakin kurang daya pelincirannya. Oleh itu, pengguna perlu menukar minyak pelincir tersebut supaya tidak berlaku kerosakan pada enjin kenderaan yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Selain itu, radiator yang dipasang pada kenderaan perlu sentiasa diambil perhatian. Sistem radiator akan menyejukkan enjin supaya tidak terlalu panas. Apabila radiator rosak, tahap kepanasan enjin akan terus meningkat. Jika bernasib baik, kenderaan yang digunakan hanya tidak dapat dihidupkan dalam masa yang lama. Seandainya nasib malang menyebelahi pengguna, enjin kenderaan akan mengalami kerosakan atau terbakar kerana mengalami tahap kepanasan yang amat tinggi. Brek kenderaan juga perlu diamati sebelum
memulakan perjalanan. Pemandu-pemandu kereta disarankan agar tidak meneruskan perjalanan sekiranya paras minyak brek berada pada tahap minimum. Hal ini kerana cengkaman pada brek akan berkurang. Akhir sekali pengguna kenderaan perlu menitikberatkan keadaan tayar kenderaan. Para pemandu perlu memastikan bunga atau jalur pada tayar kenderaan masih boleh digunakan. Jalur tayar yang rosak atau tayar yang mengalami kebotakan boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan semasa memandu.



Jelaslah bahawa kelima-lima langkah tersebut melengkapi teknik penjagaan kereta. Sesungguhnya malang tidak dapat dihidu, maka perlulah kita mengambil langkah-langkah yang lebih awal bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Kadar kemalangan jalan raya tidak mustahil dapat diminimumkan sekiranya langkah-langkah tersebut berjaya diamalkan dalam kalangan pengguna jalan raya.