Saturday, November 15, 2014

Entri 3 | Punca-punca Gagal dalam Pelajaran

     Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan bagi umat Islam. Rasulullah pernah bersabda kepada umatnya supaya menuntut ilmu hingga ke liang lahad. Tuntutan tersebut disempurnakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Namun masih terdapat beberapa insan yang tidak dapat meneruskan perjalanan tersebut hingga ke akhirnya. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak percaya kepada prinsip gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat meneruskan perjalanannya dalam menuntut ilmu.

Kesilapan memilih sahabat seperjuangan merupakan faktor utama kegagalan dalam pelajaran. Sahabat yang boleh membawa kepada kemusnahan dalam akademik merupakan seseorang yang cenderung kepada perkara yang boleh menjejaskan akademik contohnya ponteng kelas, tidak menghormati tenaga pengajar, tidak menyiapkan kerja-kerja yang diberikan dan lain-lain. Kegiatan tersebut boleh menyebabkan fikiran akan sering terganggu semasa belajar. Gagal menguruskan masa juga menyebabkan pelajar gagal dalam pelajaran. Hal ini disebabkan kerja-kerja semakin bertambah apabila di tangguh. Akhirnya kerja-kerja tersebut gagal diselesaikan, secara tidak langsung menjejaskan pemarkahan pada tugasan yang diberikan. Selain itu, tenaga pengajar memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Pelajar sukar memahami apabila tenaga pengajar tidak dapat menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menyebarkan ilmu. Sesetengah daripada mereka juga tidak mengambil berat terhadap prestasi pelajar dan mengarahkan tugasan yang
tidak bersesuaian kepada pelajar. Masalah kewangan merupakan salah satu punca kegagalan. Pelajar memerlukan wang yang banyak bukan untuk dibelanjakan kepada barangan atau perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Bahan-bahan akademik seperti buku ilmiah dijual pada harga yang mahal, tambahan pula kos yang tinggi diperlukan untuk menyiapkan tugasan menyebabkan pelajar tidak dapat melengkapi tuntutan tersebut. Kegiatan kokurikulum melebihi kurikulum menyebabkan pelajar kesuntukan masa untuk diluangkan kepada pelajaran. Aktiviti kokurikulum yang berlebihan juga menyebabkan pelajar tidak cukup rehat sehingga tertidur sewaktu menuntut ilmu.


Jelaslah bahawa faktor-faktor tersebut mendorong kepada kegagalan dalam pelajaran. Sekiranya hal ini tidak dititikberatkan, maka tidak mustahil golongan yang berjaya dalam akademik akan semakin berkurangan. Oleh itu semua pihak perlu berganding bahu bagi menggagalkan faktor-faktor tersebut secara tidak langsung dapat merealisasikan kejayaan yang menjadi impian setiap penuntut ilmu di samping menepati tuntutan Rasulullah.

No comments:

Post a Comment